Monday, March 28, 2011

Bukankah Diam Itu Lebih Baik?

Kenapa asyik membuka mulut

berkata-kata kosong

tanpa manfaat sedikitpun,

bukankah diam itu lebih baik?


Kenapa sibuk mengatakan

keburukan orang lain

dengan tidak henti-henti mengumpat,

bukankah diam itu lebih baik?


Kenapa mulut tidak penat

mengeluarkan kata-kata kesat

meskipun kepada rakan-rakan,

bukankah diam itu lebih baik?


Kenapa masih tidak insaf

berkata-kata buruk

dengan mengutuk orang lain,

bukankah diam itu lebih baik?


Kenapa agaknya mulut itu

tidak boleh dikunci walaupun

untuk masa yang singkat,

bukankah diam itu lebih baik?

“Barangsiapa siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam”

Orang yang suka berdiam diri atau pendiam itu lebih baik dari orang yang suka berbicara yang tidak keruan. Baik perangai dan baik. Kedua-dua sifat ini merupakan sifat yang baik dan tidak susah untuk melakukannya asalkan hati menyuruh tuan empunya diri berbuat demikian. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud;

Mahukah kamu aku khabarkan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuhnya ialah diam dan baik perangai”

Jika seseorang itu tidak mampu berkata baik, lebih baiklah dia mendiamkan diri. Jangan kita suka mengisi masa dengan mengumpat orang lain, mengutuk dan sebagainya yang boleh menyebabkan diri bertambah dibenci orang dan tuhan. Rasulullah bersabda yang bermaksud;

“Seseorang mukmin itu bukanlah pengumpat yang suka mengumpat yang keji dan yang ucapannya kotor”

Diam orang mukmin itu ibadah,
Ibadah tanpa perbuatan,
Ibadah rasa,
Ibadah yang tidak meletihkan,


Kadang-kadang ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat,
Yang hatinya dalam kelalaian,
Bagaimana orang mukmin itu diamnya menjadi ibadah?


Kadang-kadang memikirkan dosanya,
Kadang-kadang memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat,
Kadang-kadang memikirkan nak menolong kawan,
Kadang-kadang dia terasa kebesaran Tuhan,


Atau dia meniatkan, dia diam itu,
Tidak mahu bercakap yang bukan-bukan,
Kadang-kadang dia diam itu,
kalau dia bercakap,
Takut dia melakukan kesalahan,
Seperti dia mengumpat atau,
Kalau dia bercakap, takut-takut menyakiti hati orang,
Atau dia diam itu, menghormati percakapan orang,


Mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran,
Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu,
Baik atau jahat,
Dia biarkan saja orang itu bercakap,
Dan mendengar sahaja,
Kerana nak mengenal orang itu,


Kadang-kadang dia diam itu memikirkan dosa-dosa yang lalu,
Ataupun kecuaian dan kelalaian,
Yang telah dibuat, supaya dia bertaubat,
Ataupun mengingatkan ilmu pengetahuan,
Ataupun pengetahuan yang dilupakan datang semula ingatan.


Manusia berbicara setiap masa. Pagi, petang dan malam. Baik dan buruk. Bicara yang baik dapat menjamin keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Diri lebih dihormati dan disayangi masyarakat dan tuhan. Tetapi jika bicaranya tidak mengikut adab dan tuntutan agama, dia akan merana di dunia mahupun di akhirat. Di dunia dia dibenci orang dan di akhirat, bicara yang menyakiti hati orang lain menyebabkan kita diseksa di Neraka. Lidah yang dikurniakan Allah bukan dicipta untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya ia digunakan untuk mengeluarkan kalimah-kalimah yang berhikmah. Oleh sebab itulah, diam merupakan benteng kepada lidah kita dari berkata-kata yang tidak berfaedah dan sia-sia. Orang suka berdiam diri itu tidak bermakna dia bodoh, orang yang suka berbicara itu tidak pula bermakna dia cerdik kerana kecerdikan itu merupakan buah fikiran. Orang cerdik yang pendiam itu lebih baik dari orang bodoh yang banyak berbicara.

Diam itu bagus bagi seseorang,

kerana diam itu tersembunyi 1001 hikmah,

tetapi ramai tidak mengetahui.


Diam merupakan ibadah,

dan pahala sebagai ganjarannya,

tidak perlu menggunakan tenaga,

kerana ia ibadah tanpa susah payah.


Diam dapat menghias diri,

iaitu perhiasan tanpa berhias,

ia lambang kehebatan seseorang

iaitu kehebatan tanpa berkerajaan.


Diam merupakan benteng,

benteng tanpa pagar,

benteng dari kemaksiatan

dan seksaan tuhan.


Diam merupakan suatu istirahat,

istirahat kepada malaikat pencatat keburukan,

dan tugas besar kepada

malaikat pencatat amal kebaikan.


Diam merupakan hijab,

iaitu hijab tanpa tabir yang menutupnya,

hijap dari aib seseorang,

di dunia mahupun di akhirat kelak.



Manusia tidak dapat melawan syaitan jika asyik berbicara tak tentu pasal. Cara yang terbaik adalah dengan diam. Diam merupakan ikhtiar yang terbaik kepada setiap manusia itu jika tidak dapat berbicara ke arah kebaikan. Bicara yang baik dan menepati adab adalah lambang hati yang baik dan bersih yang juga bergantung kepada kekuatan iman pada manusia itu sendiri. Akhir kata, satu hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Naim sebagai penutup bicara saya pada post kali ini dan sebagai renungan bersama. Hadisnya bermaksudnya;


“barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya, barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya nerakalah tempat paling layak baginya”

No comments:

Post a Comment