Tanpa pemeliharaan, perlindungan dan rahmat Allah pasti kita akan binasa. Allah SWT dengan kasih sayangnya pada kita telah mengurniakan macam-macam jenis nikmat secara ‘percuma’. Oksigen untuk bernafas, anggota badan dan pancaindera yang berfungsi dengan sempurna, akal untuk berfikir dan lain –lain nikmat yang tidak terhitung banyaknya.
Tabiat manusia mereka akan tunduk dan bergantung kepada Allah bila dalam keadaan terdesak. Bila mereka dalam keadaan senang dan aman mereka kembali mendurhakai Allah SWT. tabiat buruk manusia ini beberapa kali dirakam oleh al-Quran:
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah,dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kedekut”.( al-Ma’arij:19-21)
“Apabila mereka menaiki kapal dan terumbang-ambing di tengah samudera maka mereka pun berdo’a kepada Allah dengan ikhlas (tidak syirik sebagaimana ketika dalam kondisi aman di darat). Kemudian tatkala Kami selamatkan mereka ke daratan maka merekapun berbuat syirik.” (Surah al-‘Ankabuut : 65)
Begitu perangai kebanyakan manusia. Bila mereka berdepan dengan masalah seperti ditimpa sakit, jatuh miskin, kehilangan insan tersayang maka mereka rajin solat, selalu berdoa dengan rendah diri dan mentaati Allah. Namun bila masalahnya diselesaikan oleh Allah, mereka kembali lalai dan durhaka. Solat tidak lagi dilaksanakan dan sombong untuk berdoa kepada Allah SWT. Na’uzubillah.
Bergantunglah kepada Allah SWT setiap masa sama ada ketika senang atau susah, kaya atau miskin, sakit atau sihat. Sesungguhnya pergantungan kepada Allah merupakan senjata ampuh dalam mengatasi semua kesulitan. Inilah senjata yang melepaskan Nabi Ibrahim ketika dicampak ke dalam api oleh Namrud. Nabi Ibrahim membaca :
حَسْبِيَ اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Bermaksud : Memadailah bagiku Hanya Allah (sebagai penolong) dan Dia sebaik-baik Pelindung.
Sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari Ibn Abbas.
Allah yang bersifat al-Rahman dan al-Rahim tidak akan membiarkan hamba yang berserah kepadaNya begitu sahaja. Pasti Dia akan membantu hambaNya yang bergantung harap sepenuh kepadaNya.
Cuba perhatikan doa Rasulullah saw yang begitu indah susunan kata-kata menyatakan pergantungan diri sepenuhnya kepada Rabb Yang Maha Mendengar. Iaitu doa :
يَا حَّيُ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ،
وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksud : Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Menguruskan, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan. Perbaikilah semua urusanku dan jangan Engkau serahkan aku kepada diriku walaupun sekelip mata ( Riwayat al-Nasa’i dan al-Hakim )
Doa ini Rasulullah saw baca pada setiap pagi dan petang. Oleh itu amalkanlah doa yang indah ini setiap masa. Tidak akan sia-sia sesiapa yang berserah kepada Allah SWT. Yakinlah. Letakkanlah diri kita dalam golongan yang dicintai oleh Allah :
No comments:
Post a Comment